Thursday, 16 May 2013
Khairy Jamaluddin Menteri Belia Dan Sukan Yang Baru
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar, 37, yang terkenal dengan kepetahannya berdiskusi dan berdebat, dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru.
Khairy Jamaluddin yang aktif dalam kegiatan lasak dan suka bersukan adalah bekas Timbalan Presiden II Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM dan pengerusi jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM selama tiga tahun sejak 2007.
Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) itu pada 2006 telah dipilih sebagai ahli The Forum of Young Global Leaders, World Economic Forum, yang dianggotai oleh pemimpin berwibawa berumur dalam lingkungan 40-an atau kurang dan memiliki komitmen tinggi terhadap tanggungjawab untuk kejayaan organisasi.
Beliau adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi Teori dari Universiti Oxford, United Kingdom, dan Ijazah Sarjana Teori Undang-undang dan Politik Universiti Kolej London.
Khairy Jamaluddin pernah bertugas sebagai penulis ucapan kepada Timbalan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 1999 dan beberapa bulan kemudian dilantik sebagai pembantu khas kepada Abdullah hingga 2003.
Apabila Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2003, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Sulit selama setahun.
Bekas penyampai televisyen dan pengacara program 'Dateline Malaysia' di NTV7 pada 1998 dan penulis dengan penerbitan The Economist selama tujuh bulan pada 1999, pernah menjadi pengarah penasihat korporat ECM Libra Sdn Bhd.
Dalam politik, Khairy Jamaluddin menyertai UMNO pada 1998 sekembalinya dari belajar di luar negara dan telah memegang beberapa jawatan parti di peringkat bahagian di Tampin dan Rembau, serta pusat termasuk Ketua UMNO cawangan Gadong pada 2002 dan Ketua Pemuda UMNO bahagian Rembau pada 2004.
Pada pemilihan parti 2004 beliau menang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO tanpa bertanding, dan pada Pilihan Raya Umum 2008 bertanding di kerusi parlimen Rembau yang disandangnya hingga ke hari ini. --BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment