FESTIVAL Belia Putrajaya (FBP) 2014, bakal berlangsung minggu ini. Penglibatan anak muda dalam festival kali ini adalah lebih menyeluruh berbanding FBP tahun lalu kerana mereka ialah perancangnya dan menghasilkan sesuatu program itu dengan kreativiti acuan mereka sendiri.
Menteri Belia dan Sukan, KHAIRY JAMALUDDIN dalam wawancara bersama UTUSAN MALAYSIA baru-baru ini memberitahu, FBP 2014 bukan sekadar mahu memberi keseronokan kepada anak muda tetapi berharap ia dapat mengubah persepsi golongan tersebut terhadap kerajaan dan kementerian berkenaan bahawa kerajaan mendengar pandangan dan menghargai kreativiti mereka.
Apakah matlamat Festival Belia Putrajaya (FBP) tahun ini?
Khairy: FBP 2014 yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat ini di Persiaran Perdana Putrajaya bertujuan mempamerkan kepelbagaian bakat anak muda negara dan seterusnya mendorong inspirasi serta kreativiti mereka melalui penganjuran pelbagai bengkel, aktiviti dan acara.
Buat pertama kali dalam penganjurannya, festival ini menampilkan acara pembuka tirai dengan program istimewa Malam Belia Berselawat yang akan diadakan pada hari Khamis malam Jumaat.
Tema "Dari Belia, Untuk Belia" yang dipilih kali ini memberikan ruang seluas-luasnya buat anak muda untuk memberikan definisi tersendiri ke atas konsep kreativiti acuan mereka, di samping bersama-sama meraikan pesta yang penuh bertenaga ini.
Kementerian juga bermatlamat menonjolkan kepelbagaian dalam festival kali ini. Acara-acara sepanjang festival turut di akar umbikan bagi memberi cita rasa tulen anak muda melalui penganjuran program yang memenuhi kehendak belia dari pelbagai latar belakang dan berlainan minat.
Apakah maksud tema tersebut?
Tema "Dari Belia, Untuk Belia" bermaksud festival itu hampir keseluruhannya dirancang oleh golongan belia bagi memastikan ia selari dengan kehendak dan cita rasa golongan muda. Perancangan festival ini dilaksanakan oleh individu serta kumpulan daripada latar belakang berlainan yang diharap dapat memenuhi pelbagai keperluan belia.
Bagaimanakah festival kali ini berbeza dengan tahun sebelumnya?
Kita koordinasikan para vendor, persembahan dan aktiviti sepanjang festival secara teratur bagi mewujudkan suasana tersusun. Dengan menimbulkan keadaan dan rasa yang lebih segar, festival kali ini akan turut memberi nilai tambah yang lebih bermakna kepada para pengunjung. Pengunjung juga akan menyaksikan perubahan dalam reka bentuk material dan hiasan sepanjang festival.
Di samping itu, festival kali ini akan menyokong serta menampilkan lebih ramai bakat muda tempatan seperti Kyoto Protocol, W.A.R.I.S., Thrill Me Now, Lawa Nie Gang, Couple and Monoloque serta Manifesto and Asmidar.
Kementerian akan turut menampil dan menyediakan platform buat karyawan indie tempatan seperti Kakiseni serta penerbit Buku Fixi yang dilihat tidak mendapat liputan dan perhatian arus perdana.
Kepelbagaian acara dan pengisian festival kali ini dimeriahkan lagi dengan program Modal Insan meliputi aktiviti kerohanian seperti tilawah al-Quran, pertandingan nasyid, kompang formasi, pidato dan acara utama iaitu Belia Berselawat bagi menarik minat belia Islam.
Di samping semua itu, kita akan mengekalkan acara tradisi seperti Karnival Jom Heboh dengan kerjasama Media Prima, serta program-program anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM). Lebih menarik, FBP 2014 turut diisi dengan beberapa acara terkenal dan signifikan seperti Karnival Kerjaya Pemuda BN, jualan buku Big Bad Wolf serta Zombie Run yang mempunyai pengikut tersendiri.
Boleh terangkan tentang Karnival Mesra Belia (Jom ke Putrajaya)?
Ia merupakan satu lagi kelainan dalam festival tahun ini. Para pengunjung yang pernah datang ke festival sebelum ini mungkin akan merasakan acara utama di Putrajaya telah dikecil atau dikurangkan.
Ini sebenarnya kerana sepanjang beberapa bulan lalu, kementerian menganjurkan siri festival yang lebih kecil sehingga ke peringkat daerah di seluruh negara. Kita menganjurkan 105 Karnival Mesra Belia daerah dan 15 karnival peringkat negeri di mana setiap satu berjaya menarik kira-kira 1,000 belia yang mungkin langsung tidak berpeluang untuk hadir ke acara utama di Putrajaya. Dengan cara ini, golongan belia di peringkat akar umbi turut berpeluang menyertai festival dan merasai sendiri mood serta suasananya.
Apakah antara persembahan muzik di festival nanti?
Persembahan muzik kali ini akan menyaksikan gabungan pancaragam atau band indie dan band arus perdana. Dengan cara ini, kita dapat menyaksikan persembahan kumpulan yang sedang meningkat naik, diselangselikan dengan kumpulan yang sudah terkenal.
Selain konsert muzik, festival kali ini akan turut diwarnai dengan persembahan kebudayaan termasuk nasyid, Chinese 24 Seasons Drums serta tarian tradisional masyarakat India dan itu membuktikan komitmen kami dalam memenuhi pelbagai cita rasa anak muda.
Bagaimana dengan persembahan muzik artis luar negara dan apa aktiviti lain?
Tiada persembahan muzik oleh artis luar negara pada festival kali ini.
Sebanyak 60 aktiviti akan diadakan di empat zon merangkumi hiburan serta kebudayaan, sukan, sastera dan aktiviti peningkatan kendiri.
Selain itu terdapat Karnival Sukan Tradisional dan The Living City oleh #BetterCities, iaitu pameran interaktif yang memberi kesedaran kepada belia tentang pembangunan bandar menggunakan bata mainan.
Pengunjung juga berpeluang melatih diri dengan teknik penanaman dan pertanian di Grow A Garden oleh Eat, Shoots and Roots, iaitu acara yang menggalakkan belia menyemai taman mini mereka tersendiri di dalam botol.
Tidak kurang menarik, para pengunjung boleh menghidupkan semula nostalgia dan zaman kegemilangan Tan Sri P Ramlee di pameran muzik #ProjekPiringHitam yang akan mengembalikan lagu-lagu lama dalam format digital.
Orang ramai turut berpeluang menaiki bas sekolah lama yang diubah suai untuk melalui sekitar tapak festival bagi mengembalikan kenangan dan suasana zaman persekolahan.
Peminat sukan ekstrem pula boleh turut serta atau menyaksikan acara motorcross, Redah 4x4, Drag Moto, aktiviti kecergasan dan senaman jalanan, seni pertahanan diri campuran serta kejohanan E Games.
Siapakah kumpulan sasaran ke festival ini?
Kami mensasarkan golongan belia di antara 15 ke 40 tahun namun turut mengalu-alukan kehadiran pengunjung dari segenap lapisan usia.
Berapa ramai pengunjung dijangka menghadiri festival ini?
FBP 2013 mencatatkan kehadiran kira-kira 2 juta pengunjung namun kita tidak meletakkan apa-apa sasaran pada penganjuran kali ini. Fokus utama festival tahun ini adalah untuk memastikan manfaat buat para pengunjung yang hadir.
Apakah yang diharapkan melalui festival ini?
Festival ini bukan semata-mata menyediakan keseronokan kepada para pengunjung tetapi aktiviti serta pengisian yang direncana diharap menjadi inspirasi kepada belia untuk menjadi lebih kreatif dan produktif.
Festival ini akan mengumpulkan para pemimpin muda berbakat dari pelbagai bidang serta lapangan sama ada muzik, seni, sastera, keagamaan dan persatuan belia yang memberi manfaat kepada para pengunjung.
Untuk para vendor dan mereka yang terlibat dalam pelbagai persembahan, ini merupakan antara platform terbaik bagi melibatkan diri dalam bidang keusahawanan melalui peluang mempamerkan kebolehan masing-masing kepada orang ramai sepanjang festival.
Bagaimana festival ini boleh membantu pembangunan belia dalam negara?
Saya berharap perubahan dari segi suasana dan pengisian festival kali ini berupaya mengubah persepsi anak muda terhadap kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan. Festival kali ini diharap membuka mata semua pihak bahawa kerajaan sentiasa peka dan selari dengan cita rasa anak muda yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.
Bagaimana belia boleh terlibat atau menjadi sukarelawan dalam festival ini?
Rakan Muda telah menganjurkan kempen merekrut sukarelawan pada Januari lepas dan kira-kira 3,000 tempat untuk sukarelawan telah pun diisi. Sebilangan besar mereka terdiri daripada ahli Persatuan Pengakap Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah.
Bagaimana orang ramai boleh mengunjungi festival ini?
Masuk adalah percuma untuk semua.
Pengunjung digalakkan supaya menggunakan pengangkutan awam ke festival dari stesen KLIA Transit (di hentian Putrajaya Sentral), di mana bas pengantara akan mengambil penumpang-penumpang ke tapak festival. Untuk mereka yang ingin memandu kereta, terdapat kemudahan Park & Ride di Putrajaya. - Sumber
No comments:
Post a Comment