Wednesday, 14 May 2014

GTP DAN ETP MENAIKTARAF EKONOMI BELIA


Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) disifatkan berjaya mencapai sasaran dalam usaha menaiktaraf ekonomi seluruh masyarakat kepada tahap yang lebih baik.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, dasar GTP dan ETP yang dilaksanakan kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada pengusaha tempatan untuk bersaing dalam sektor ekonomi.

Jelasnya, kejayaan program-program tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan membawa perubahan terhadap ekonomi masyarakat seiring dengan perkembangan arus perdana.

“GTP dan ETP telah membantu usahawan kecil dan sederhana yang kebanyakannya golongan belia untuk bersaing di pasaran. Dengan bimbingan dan perkhidmatan yang dilaksanakan, ramai pengusaha sektor tersebut berjaya memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.



“Langkah membuka lebih banyak Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) satu tindakan yang harus dipuji kerana ia membantu usahawan kita berkongsi produk keluaran mereka dengan seluruh rakyat negara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kejayaan pelaksanaan GTP dan ETP dalam membangunkan ekonomi golongan belia dan bumiputera seperti diumumkan Perdana Menteri semalam.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee melihat pelaksanaan GTP dan ETP terbukti sebagai platform yang berkesan untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan belia.

Jelasnya, di bawah program-program tersebut, pelbagai bidang ekonomi telah diberi perhatian dan melalui proses penambahbaikan.

“Dengan pelaksanaan program transformasi ekonomi seperti KR1M dan Unit Agropreneur Muda, penglibatan golongan muda dalam sektor ekonomi telah menunjukkan peningkatan yang membanggakan.

“Projek-projek penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pencetus utama ekonomi negara seperti pertanian dan petroleum berjaya dipertingkat dan diperhebatkan," katanya.

Beliau turut berpendapat, ETP dan GTP perlu dijayakan bukan sahaja oleh pihak kerajaan malah seluruh rakyat Malaysia.

“Kerajaan telah menunjukkan 60 peratus komitmen mereka dan 40 peratus lagi adalah di bawah tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk memberi kerjasama dalam merealisasikan keberkesanan pro­gram-program transformasi se­perti ini," jelasnya. - Sumber

No comments: