Majlis perasmian pembukaan temasya Sukma XVII Perlis 2014 berlangsung penuh aksi dan gilang gemilang dengan gimik pembuka tirai ala 'James Bond' di Stadium Tuanku Syed Putra malam tadi.
Kira-kira 20,000 penonton menghadiri majlis perasmian tersebut yang turut menyaksikan gimik khas membawa bendera ke stadium tersebut selepas selesai nyanyian lagu negeri Perlis.
Gimik persembahan khas yang berlangsung selama lima minit itu diakhiri dengan kemunculan seorang anggota elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) menaiki motosikal, dan kemudiannya berlari ke tengah padang sambil mengibarkan bendera Sukma XVII.
Kehangatan majlis itu semakin dirasai sebaik sahaja 15 kontinjen masuk ke dalam stadium untuk memberi lintas hormat sejurus perarakan masuk bendera Sukma dan Jalur Gemilang diiringi maskot temasya iaitu Singa Utara.
Mendahului perbarisan ialah kontinjen Brunei diikuti Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu, Wilayah Persekutuan dan tuan rumah, Perlis.
Acara diteruskan dengan bacaan doa dan ucapan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man sebelum Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail merasmikan temasya kali ke-17 ini.
"Pesanan saya, bertandinglah secara sihat, dan sekiranya kita tidak berjaya bukanlah bererti kita sudah kalah selama-lamanya, tetapi anggaplah rezeki untuk menang pada ketika itu bukan milik kita.
"Saya dengan ini mengisytiharkan nama stadium ini sebagai Stadium Tuanku Syed Putra seterusnya merasmikan pembukaan Sukma ke-17 negeri Perlis pada tahun ini," titah baginda dalam ucapan perasmian.
Selepas itu, larian baton Sukma XVII dilakukan melibatkan beberapa bekas atlet Perlis mengelilingi stadium dan atlet terakhir naik ke atas Pentas Diraja dan mempersembahkan baton kepada Tuanku Syed Sirajuddin. Ini diikuti dengan upacara menyalakan obor, diikuti dengan menyanyikan lagu rasmi temasya, Seiring Menuju Kecemerlangan.
Ia diikuti persembahan khas yang berlangsung selama 40 minit terbahagi kepada tujuh segmen - Puisidra, Pergendangan, Tradisional, Kedamaian, Belon Bercahaya, Uephoria dan akhir sekali Grand Finale.
Berangkat sama ke majlis perasmian ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Sementara itu, walaupun mengutip satu pingat emas semalam Terengganu masih lagi mendahului kontinjen-kontinjen lain apabila mengumpul 10 emas, empat perak dan tiga gangsa selepas tiga hari Sukma XVII berlangsung.
Empat pingat emas ditawarkan semalam, dua dalam sukan berbasikal dan dua di gelanggang skuasy.
Terengganu meraih emas menerusi acara berbasikal merentas desa 36 kilometer lelaki. Baki tiga lagi diraih m asing-masing oleh Kedah dalam acara berbasikal merentas desa 24km wanita, Sarawak (skuasy individu lelaki) dan Pulau Pinang (skuasy individu wanita).
Pemburuan pingat dijangka berlangsung lebih meriah hari ini apabila sebanyak 29 emas ditawarkan menerusi acara angkat berat, berbasikal, kanu, karate, pencak silat dan boling. - Sumber
No comments:
Post a Comment