"KALAU awak fikir positif, maka positiflah jadinya. Sebaliknya, jika berfikiran negatif, negatiflah jadinya".
Kata-kata itu sering diperkatakan untuk memotivasikan diri kerana dengan pemikiran yang positif boleh melahirkan idea-idea yang kreatif dan inovatif untuk menjadi sebuah negara yang maju bertaraf antarabangsa.
Kreativiti dan inovasi amat dituntut bagi melahirkan generasi murid berfikiran kelas pertama dalam abad ke-21 ini untuk bersaing dalam era alaf.
Dr. Edward de Bono mendefinisikan kreatif dan kreativiti sebagai, "At the simplest level creative means bringing into being something that was not there before."
Berfikir di luar kotak adalah satu kreativiti proses pemikiran yang mendorong generalisasi idea baharu. Ia melibatkan kombinasi antara idea baru dan idea lama yang diproses semula, membuat pemilihan dan menukar ganti menjadi suatu yang baharu.
Inovasi pula adalah suatu idea, amalan atau objek yang dianggap baharu dan yang lebih baik.
Maka, manusia yang kreatif dapat menghasilkan sesuatu yang inovatif dengan membina trend baru dan menggunakan peluang maksimum dengan pelbagai persaingan.
Telefon bimbit yang dihasilkan kini penuh dengan kreativiti sebagai alat perhubungan tetapi dengan adanya inovasi maka telefon bimbit digunakan sebagai alat hiburan, Internet, kamera, penyampai maklumat, memberi pandu arah perjalanan dan membuat pelbagai pengiraan.
Semua pihak perlu berfikiran positif dengan menyokong segala usaha melahirkan insan yang kreatif dan inovatif. Pendidikan yang kreatif dan inovatif amat penting dengan memfokuskan kepada kemahiran berfikir aras tinggi atau high order thinking skills.
Guru perlu sentiasa penuh kreativiti dan inovasi tetapi bolehkah mata pelajaran kreativiti dan inovasi diwujudkan atau sebagai aktiviti kokurikulum?
Adakah pendekatan pengajaran yang berpusat kepada murid perlu mempunyai keupayaan berfikir? Murid yang kreatif dan inovatif akan menjadi seorang yang sentiasa berfikir, ingin mencipta, bercita-cita besar, berani dan yakin kepada diri sendiri. Inilah ciri-ciri murid yang perlu kita lahirkan, mempunyai jati diri untuk menghadapi cabaran masa depan dan tidak mudah dipengaruhi dengan anasir negatif apabila berjaya kelak.
Pelbagai aktiviti pembelajaran seperti kuiz, forum, syarahan, bahas, membuat projek, kerja berkumpulan dan tugasan luar bilik darjah mampu mendidik anak-anak kita berfikir di luar kotak. Aktiviti tersebut akan menggalakkan murid berfikir, berbincang, membuat rujukan, menyediakan nota dan menghasilkan tugasan tersebut.
Ini akan menggalakkan percambahan idea dan dapatan baru yang melibatkan unsur-unsur kreativiti dan inovasi di kalangan murid.
Belia pada hari ini kurang berkomunikasi dan apabila melangkah ke dunia pekerjaan tidak dapat menjawab soalan-soalan khususnya isu-isu semasa. Kemahiran tinggi diperlukan dengan melakukan transformasi dalam menjana minda murid agar menjadi lebih dinamik agar menguasai pelbagai kemahiran lain seperti berfikir aras tinggi, penyelesaian masalah, berkomunikasi dan berkolaborasi dengan baik.
Peranan pengurusan sekolah tidak kurang pentingnya dalam merealisasikan elemen kreativiti dan inovasi dalam kalangan warganya. Pihak pengurusan juga perlu menjadikan iklim sekolah yang sentiasa ceria, bersih, kemas dan bermaklumat.
Sikap terbuka dan mesra akan menjadikan guru dan murid merasa gembira dan selamat semasa mengikuti aktiviti pembelajaran.
Budaya sekolah yang positif menggalakkan kreativiti dan inovasi akan mendorong semangat belajar yang tinggi dalam kalangan murid, mempunyai daya usaha sendiri dan sentiasa berusaha mengembangkan potensi ke arah yang lebih baik. Bagi mewujudkan suasana tersebut sekolah perlu mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengurusan dan memberi ruang kebebasan berkarya kepada warganya.
Keberkesanan sekolah akan terserlah jika mereka dapat menggunakan teknologi dalam pengurusan dan bilik darjah. Teknologi tidak harus dilihat sebagai alat semata-mata yang banyak membawa pengaruh negatif tetapi jika dilihat secara positif ICT amat perlu untuk menjadikan sistem pengurusan lebih efisien dan berkesan. Penggunaan ICT secara meluas dapat membina imej baru dalam pengurusan organisasi yang berprestasi tinggi. Ia akan menjadikan sekolah lebih berdaya saing dan menjadi lebih produktif.
Usaha melahirkan rakyat Malaysia yang kreatif dan inovatif oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia atau Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dengan menganjurkan Pertandingan Reka Cipta Logo Hari Kemerdekaan Ke 57 harus dipuji. Namun kejayaan hasil kreativiti kadang-kadang dilupakan begitu sahaja.
Pastikan segala hasil kreativiti terutama yang memenangi anugerah dipatenkan dan dikongsi bersama dengan penuh positif. Salam 1Hati.
PENULIS ialah DR. JESSICA ONG HAI LIAW
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. - Sumber
No comments:
Post a Comment