Saturday, 16 January 2016

PEMAIN MUDA JADI TARUHAN


Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertaruhkan maruah negara apabila membariskan barisan pemain muda untuk menggalas cabaran dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia yang juga pentas kelayakan Piala Thomas dan Piala Uber 2016 di Hyderabad, India bulan depan.

Ketiadaan jaguh negara Datuk Lee Chong Wei dan Chong Wei Feng menyaksikan juara remaja dunia 2011 Zulfadli Zulkiffli diberikan tanggungjawab besar selaku perseorangan pertama skuad lelaki manakala juara sirkit kebangsaan 2015 Iskandar Zulkarnain Zainuddin sebagai perseorangan kedua.

Dua lagi pemain muda yang diberikan kepercayaan ialah Soo Teck Zhi dan Soong Joo Ven.

Tan Kian Meng-Low Juan Sheng, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Tan Chee Tian-Tan Wee Gieen akan diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran beregu untuk skuad Piala Thomas.

Tindakan berani BAM itu menyaksikan Malaysia berdepan risiko gagal ke pusingan akhir Piala Thomas buat kali pertama dalam sejarah.

Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, keputusan untuk tidak membariskan pemain senior dibuat kerana tidak mahu menjejaskan persiapan mereka menghadapi Sukan Olimpik.

Katanya, pemain senior seperti Chong Wei dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong akan menyertai beberapa kejohanan lain bagi mencari mata kelayakan untuk kejohanan sukan terulung dunia di Brazil itu.

“Selepas mengambil kira pandangan dan usia Chong Wei, dia seharusnya memberikan tumpuan kepada kejohanan utama bagi meneruskan impian negara meraih pingat emas Sukan Olimpik.

“Saya melihat sudah sampai masanya kita menghantar pasukan muda dan berikan mereka pendedahan serta peluang untuk beraksi di pentas besar seperti itu.

“Sudah pasti sasaran ialah layak ke pusingan akhir di China dan saya yakin pasukan ini mampu melaksanakannya,” katanya ketika selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini semalam.

Sebelum ini Chong Wei me­nyu­a­ra­kan hasratnya untuk tidak beraksi di Hyderabad kerana mahu bersedia untuk menghadapi Olimpik Rio yang jauh lebih mencabar.

Thursday, 17 September 2015

PROGRAM LIGA SUKAN UNTUK SEMUA 2015 PERINGKAT DAERAH BENTONG


BENTONG, 17 SEPTEMBER 2015 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bentong telah mengadakan Liga Sukan Untuk Semua 2015 Peringkat Daerah Bentong pada 16 september  2015. Untuk pertandingan Liga Sukan Untuk Semua, empat kategori sukan telah dipertandingankan. Sukan sukan tersebut adalah Futsal Lelaki dan Wanita, Bola Tampar Lelaki dan Wanita, Takraw dan Bola Jaring.







Jumlah peserta pertandingan Liga Sukan Untuk Semua 2015 Peringkat Daerah Bentong dianggarkan lebih seribu orang. Penyertaan yang menggalakkkan daripada belia adalah diluar jangkaan. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Roslin Binti Hj Abdul Rahman, En Ahmad Fadzil Bin Ibrahim, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Bentong dan En Ahmad NilHakim Bin Abd Rahim, Pengerusi Majlis Belia Daerah Bentong.

Thursday, 3 September 2015

PERKASA ANAK MUDA DI MENARA ILMU


UNIVERSITI perlu keluar dari hanya berpaksikan idealisme ilmu tetapi bergerak secara realistik membangunkan ba­kat yang ada untuk memenuhi ke­perluan masa hadapan dalam pembinaan bangsa, negara dan tanah air yang sehati sejiwa berpegang kepada usaha berterusan dengan jati diri yang kukuh. Tumpuan bakat yang ada tentu sekali tertumpu kepada anak-anak muda, para mahasiswa sedia ada mahupun yang akan memasuki institusi pengajian tinggi dalam masa yang terdekat ini yang jumlahnya bukan kecil.

Cabaran besar universiti ialah untuk membentuk dan mencorakkan anak-anak muda agar apabila meninggalkan kampus, berupaya menghayati semangat cintakan negara yang jitu dan tidak mudah terpengaruh dengan hanya cakap-cakap kosong tanpa asas data dan fakta yang jelas, apatah lagi melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan yang boleh merosakkan pembangunan negara yang dibina sekian lama oleh para pemimpin dan pejuang terdahulu.

Universiti perlu melahirkan siswazah yang memahami sejarah masa lalu, menghargai apa jua kontrak sosial dan Perlembagaan Negara yang lama dibina dengan menghormatinya sebagai satu prasyarat untuk meneruskan proses pembangunan yang sedia ada. Kita perlu memandang serius cubaan-cubaan yang dibuat secara berterusan dalam mempertikaikan apa jua yang ada, membangunkan stereotaip-stereotaip yang boleh mengganggu-gugat usaha yang telah lama dibina dan melakukan provokasi-provokasi yang menimbulkan perasaan resah yang boleh mengganggu kesejahteraan masyarakat.

Usaha-usaha terancang dari dalam dan luar oleh tangan-tangan yang tidak nampak ini berupaya untuk menghuru-harakan ketenteraman masyarakat melalui pelbagai aktiviti termasuk demonstrasi atas pelbagai label dan nama yang berupaya membakar jiwa dan darah muda anak-anak muda kita. Kerana itu, universiti berusaha untuk mengambil langkah-langkah yang berterusan dalam memperkasakan anak-anak muda melalui pelbagai mekanisme yang boleh memastikan mereka dapat menggunakan setiap ruang dan peluang yang ada sepanjang berada di kampus untuk membudayakan diri dengan ilmu pengetahuan dan maklumat yang berasaskan data dan fakta yang tepat, berhujah dengan matang dan menjadi pemimpin yang sentiasa berpegang kepada nilai-nilai masyarakat yang ada berpaksikan kepada ajaran agama, moral dan etika yang tinggi.

Ini termasuklah melahirkan seorang anggota masyarakat yang melihat masa hadapan yang positif dengan menyiapkan dirinya mengikut keperluan yang ada dalam pemikiran sejagat atau global dengan nilai-nilai universal yang diterima oleh segenap masyarakat dunia - bekerja keras, berintegriti tinggi, bijak berkomunikasi, menghormati orang lain, komited, bersemangat dengan kerjanya serta celik budaya iaitu tahu di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Ini bermakna anak-anak muda kita perlu dipersiapkan dengan keperluan dan kesedaran bahawa bumi ini luas dan peluang untuk menerokai kejayaan berada di mana sahaja selagi berfikiran positif dan bersedia menghadapinya dengan yakin dan berani. Mekanisme sudah ada di universiti misalnya di Universiti Sains Malaysia (USM) terdapat program Kesarjanaan APEX atau APEX Scholar yang sememangnya menumpukan kepada usaha untuk melahirkan siswazah yang berjiwa global.

Begitu juga dengan pelbagai program pertukaran pelajar yang terdapat di universiti yang menggalakkan para mahasiswanya untuk terlibat dalam proses mobiliti bersama rakan-rakan dari universiti di seluruh dunia. Malah USM juga misalnya mempunyai program seperti Pimpin Siswa yang seawal menjejak kaki ke universiti mewajibkan seluruh mahasiswanya mengikuti program-program yang disusun khas untuk memahami peranan dan tanggungjawab seseorang mahasiswa dan anak muda terhadap diri sendiri, universiti malah negaranya dalam konteks kelestarian untuk menjaga hubungannya dengan manusia dan alam apatah lagi hubungannya dengan Tuhan.

Kampus universiti juga mempunyai program kesukarelawanannya sendiri yang membolehkan anak-anak muda kita melatih jiwa dan kalbunya untuk membantu mereka yang memerlukan, menolong mereka yang dilanda kesempitan serta melatih diri untuk tidak mementingkan diri dalam konteks kemaslahatan awam secara berterusan, termasuk juga melalui aktiviti khidmat masyarakat dan sebagainya.

Ketika negara dilanda bencana pada tahun lalu, kita melihat bagaimana pemerkasaan aktiviti kesukarelawanan ini berupaya membantu mereka yang berada di Kelantan dan Pahang terutamanya untuk bangun membina hidup baharu.

Begitu juga dengan penyertaan dalam pelbagai aktiviti berpakaian seragam dan berpersatuan yang membolehkan mereka melatih bakat kepimpinan, sama ada menjadi seorang ketua yang memimpin atau anak buah yang dipimpin melalui lebih 100 pertubuhan, persatuan dan kelab berdaftar yang ada di universiti. Majlis Perwakilan Pelajar misalnya menyuburkan dan mendidik anak-anak muda kita dengan demokrasi dalam budaya ilmu yang beradab dan berteraskan kepada fakta dan data yang seharusnya dihormati, bukan dijadikan alat untuk tujuan peribadi atau kumpulan tertentu.

Universiti seperti USM turut mempunyai Parlimen Mahasiswa yang menjadi medan untuk anak-anak muda kita mempraktikkan perdebatan ala Parlimen dengan matang tanpa campur tangan universiti mahupun pihak-pihak lain. Bagi mereka yang ingin terlibat se­awal mungkin dalam penyelidikan bertaraf dunia, anak-anak muda ini boleh menyertai pelbagai program mahupun pertandingan penyelidik­an yang dilakukan sama ada oleh para mahasiswanya sendiri mahupun oleh pihak lain dalam menye­mai budaya penyelidikan saintifik bertaraf dunia.

Sebenarnya jalan terbuka luas kepada anak-anak muda kita mene­rokai potensi dirinya untuk menjadi sebahagian daripada bakat besar dalam membina dan membangunkan keharmonian dan kesejahteraan negara sebagai pemimpin masa hadapan yang memacu kecemerlangan serta menolak aktiviti antiakademi yang boleh merosakkan masa hadapan negara bangsa. Pelbagai mekanisme disediakan yang terbuka luas untuk diterokai oleh mereka untuk sehati sejiwa dalam meneruskan erti kemerdekaan negara.

Selamat datang kepada anak-anak muda yang akan memasuki universiti di seluruh negara dan pilihlah jalan betul. Universiti adalah tempat untuk menerokai potensi bakat yang ada seluas-luasnya. Hanya kemahuan dan kebijaksanaan yang akan menentukan kejayaan masa hadapan.

PROFESOR DATUK DR. OMAR OSMAN ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

APAKAH DASAR 1MURID 1SUKAN ?


Assalamualaikum, salam belia dan salam sehati sejiwa.

Tahukah anda semua mengenai dasar 1Murid 1Sukan (1M1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah.

Setiap murid dikehendaki melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun.

Dasar 1M1S diwujudkan untuk memberi peluang kepada murid-murid mendapatkan faedah daripada pembabitan dalam sukan, khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif.

Selain itu, objektif 1M1S diwujudkan bertujuan membentuk sahsiah, jati diri, displin atau nilai murni seseorang sekaligus mewujudkan budaya bersukan dalam kalangan generasi muda. Dasar 1M1S juga memastikan murid menguasai kemahiran dan pengetahuan dalam sukan melalui pendekatan berasaskan "Learning Through Play" dan juga memberi keseimbangan antara keperluan akademik dan fizikal.

Setiap murid termasuk calon dengan keperluan khas yang tidak mempunyai masalah kesihatan wajib mengambil bahagian sekurang kurangnya satu jenis sukan. Namun demikian, bagi mereka yang ingin menyertai lebih daripada satu sukan di sekolah, tidak akan menjadi masalah.

Diadakan sepanjang tahun
Aktiviti sukan di sekolah diadakan sepanjang tahun berdasarkan kepada aktiviti rumah sukan dan kelab sukan. Kejohanan olahraga sekolah yang didahului oleh Kejohanan Merentas Desa dan sukan tara menjadi aktiviti teras sukan di sekolah.


Asas kepada dasar ini adalah pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) yang berkualiti di sekolah. Segala sumber mata pelajaran PJK hendaklah digunakan sama bagi pelaksanaan dasar ini.

Dasar 1M1S ini diwajibkan bagi murid Tahun 4 hingga Tahun 6 pada peringkat sekolah rendah. Untuk sekolah menengah pulan, pelajar Tingkatan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 diwajibkan mengikuti program ini.

Anjur daripada peringkat sekolah
Pihak sekolah juga hendaklah mengadakan pertandingan antara tingkatan, kelas, rumah sukan, dorm asrama dan kelab sukan sekolah.

Penyertaan murid dalam kejohanan Majlois Sukan Sekolah Daerah (MSSD) atau Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) atau Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) serta peringkat antarabangsa ialah aktiviti di bawah Dasar 1M1S.