UNIVERSITI perlu keluar dari hanya berpaksikan idealisme ilmu tetapi bergerak secara realistik membangunkan bakat yang ada untuk memenuhi keperluan masa hadapan dalam pembinaan bangsa, negara dan tanah air yang sehati sejiwa berpegang kepada usaha berterusan dengan jati diri yang kukuh. Tumpuan bakat yang ada tentu sekali tertumpu kepada anak-anak muda, para mahasiswa sedia ada mahupun yang akan memasuki institusi pengajian tinggi dalam masa yang terdekat ini yang jumlahnya bukan kecil.
Cabaran besar universiti ialah untuk membentuk dan mencorakkan anak-anak muda agar apabila meninggalkan kampus, berupaya menghayati semangat cintakan negara yang jitu dan tidak mudah terpengaruh dengan hanya cakap-cakap kosong tanpa asas data dan fakta yang jelas, apatah lagi melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan yang boleh merosakkan pembangunan negara yang dibina sekian lama oleh para pemimpin dan pejuang terdahulu.
Universiti perlu melahirkan siswazah yang memahami sejarah masa lalu, menghargai apa jua kontrak sosial dan Perlembagaan Negara yang lama dibina dengan menghormatinya sebagai satu prasyarat untuk meneruskan proses pembangunan yang sedia ada. Kita perlu memandang serius cubaan-cubaan yang dibuat secara berterusan dalam mempertikaikan apa jua yang ada, membangunkan stereotaip-stereotaip yang boleh mengganggu-gugat usaha yang telah lama dibina dan melakukan provokasi-provokasi yang menimbulkan perasaan resah yang boleh mengganggu kesejahteraan masyarakat.
Usaha-usaha terancang dari dalam dan luar oleh tangan-tangan yang tidak nampak ini berupaya untuk menghuru-harakan ketenteraman masyarakat melalui pelbagai aktiviti termasuk demonstrasi atas pelbagai label dan nama yang berupaya membakar jiwa dan darah muda anak-anak muda kita. Kerana itu, universiti berusaha untuk mengambil langkah-langkah yang berterusan dalam memperkasakan anak-anak muda melalui pelbagai mekanisme yang boleh memastikan mereka dapat menggunakan setiap ruang dan peluang yang ada sepanjang berada di kampus untuk membudayakan diri dengan ilmu pengetahuan dan maklumat yang berasaskan data dan fakta yang tepat, berhujah dengan matang dan menjadi pemimpin yang sentiasa berpegang kepada nilai-nilai masyarakat yang ada berpaksikan kepada ajaran agama, moral dan etika yang tinggi.
Ini termasuklah melahirkan seorang anggota masyarakat yang melihat masa hadapan yang positif dengan menyiapkan dirinya mengikut keperluan yang ada dalam pemikiran sejagat atau global dengan nilai-nilai universal yang diterima oleh segenap masyarakat dunia - bekerja keras, berintegriti tinggi, bijak berkomunikasi, menghormati orang lain, komited, bersemangat dengan kerjanya serta celik budaya iaitu tahu di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Ini bermakna anak-anak muda kita perlu dipersiapkan dengan keperluan dan kesedaran bahawa bumi ini luas dan peluang untuk menerokai kejayaan berada di mana sahaja selagi berfikiran positif dan bersedia menghadapinya dengan yakin dan berani. Mekanisme sudah ada di universiti misalnya di Universiti Sains Malaysia (USM) terdapat program Kesarjanaan APEX atau APEX Scholar yang sememangnya menumpukan kepada usaha untuk melahirkan siswazah yang berjiwa global.
Begitu juga dengan pelbagai program pertukaran pelajar yang terdapat di universiti yang menggalakkan para mahasiswanya untuk terlibat dalam proses mobiliti bersama rakan-rakan dari universiti di seluruh dunia. Malah USM juga misalnya mempunyai program seperti Pimpin Siswa yang seawal menjejak kaki ke universiti mewajibkan seluruh mahasiswanya mengikuti program-program yang disusun khas untuk memahami peranan dan tanggungjawab seseorang mahasiswa dan anak muda terhadap diri sendiri, universiti malah negaranya dalam konteks kelestarian untuk menjaga hubungannya dengan manusia dan alam apatah lagi hubungannya dengan Tuhan.
Kampus universiti juga mempunyai program kesukarelawanannya sendiri yang membolehkan anak-anak muda kita melatih jiwa dan kalbunya untuk membantu mereka yang memerlukan, menolong mereka yang dilanda kesempitan serta melatih diri untuk tidak mementingkan diri dalam konteks kemaslahatan awam secara berterusan, termasuk juga melalui aktiviti khidmat masyarakat dan sebagainya.
Ketika negara dilanda bencana pada tahun lalu, kita melihat bagaimana pemerkasaan aktiviti kesukarelawanan ini berupaya membantu mereka yang berada di Kelantan dan Pahang terutamanya untuk bangun membina hidup baharu.
Begitu juga dengan penyertaan dalam pelbagai aktiviti berpakaian seragam dan berpersatuan yang membolehkan mereka melatih bakat kepimpinan, sama ada menjadi seorang ketua yang memimpin atau anak buah yang dipimpin melalui lebih 100 pertubuhan, persatuan dan kelab berdaftar yang ada di universiti. Majlis Perwakilan Pelajar misalnya menyuburkan dan mendidik anak-anak muda kita dengan demokrasi dalam budaya ilmu yang beradab dan berteraskan kepada fakta dan data yang seharusnya dihormati, bukan dijadikan alat untuk tujuan peribadi atau kumpulan tertentu.
Universiti seperti USM turut mempunyai Parlimen Mahasiswa yang menjadi medan untuk anak-anak muda kita mempraktikkan perdebatan ala Parlimen dengan matang tanpa campur tangan universiti mahupun pihak-pihak lain. Bagi mereka yang ingin terlibat seawal mungkin dalam penyelidikan bertaraf dunia, anak-anak muda ini boleh menyertai pelbagai program mahupun pertandingan penyelidikan yang dilakukan sama ada oleh para mahasiswanya sendiri mahupun oleh pihak lain dalam menyemai budaya penyelidikan saintifik bertaraf dunia.
Sebenarnya jalan terbuka luas kepada anak-anak muda kita menerokai potensi dirinya untuk menjadi sebahagian daripada bakat besar dalam membina dan membangunkan keharmonian dan kesejahteraan negara sebagai pemimpin masa hadapan yang memacu kecemerlangan serta menolak aktiviti antiakademi yang boleh merosakkan masa hadapan negara bangsa. Pelbagai mekanisme disediakan yang terbuka luas untuk diterokai oleh mereka untuk sehati sejiwa dalam meneruskan erti kemerdekaan negara.
Selamat datang kepada anak-anak muda yang akan memasuki universiti di seluruh negara dan pilihlah jalan betul. Universiti adalah tempat untuk menerokai potensi bakat yang ada seluas-luasnya. Hanya kemahuan dan kebijaksanaan yang akan menentukan kejayaan masa hadapan.
PROFESOR DATUK DR. OMAR OSMAN ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.
- SUMBER
No comments:
Post a Comment