Saturday, 23 February 2013
Bos Kekal Jersi Kuing
Cuaca dan laluan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 semakin sesuai dengan corak kayuhan Theo Bos dari Blanco Pro Cycling Team apabila dia muncul juara peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 dari Serdang ke Kuala Kangsar semalam.
Bos, yang menawan peringkat pertama, Kangar ke Kulim kelmarin, menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat, sekali gus mengekalkan jersi kuning (Pendahulu Keseluruhan) dan jersi biru (Raja Pecut).
Hasrat pelumba Astana Pro Team, Andrea Guardini untuk muncul juara tidak kesampaian apabila dia menduduki tempat kedua.
Aidis Kruopis (Orica GreenEDGE) melengkapkan penguasaan pasukan Pro Teams dengan menduduki tempat ketiga.
Menurut Bos, dia gembira dengan kejayaan semalam dan hari ini (peringkat ketiga) adalah masa rehat buatnya, kerana perlumbaan akan melalui zon pendakian yang mencabar di Cameron Highlands.
"Sebagai pelumba pecut saya memang mahu memenangi perlumbaan peringkat, setiap tahun saya berazam untuk mencipta rekod menang sebanyak mana peringkat dalam perlumbaan yang saya sertai," katanya.
Pada perlumbaan sejauh 117.8 kilometer semalam, Bos diberi bantuan rakan sepasukan terutama Jos Van Emden, Thomas Leezer dan Marc Goos, yang membawanya menghampiri garisan penamat sebelum mereka membuka laluan.
"Peringkat tadi pasukan banyak melakukan kerja untuk saya tetapi sukar untuk kami terus ke depan tiga pelumba berkorban keluar dari kelompok ke garisan penamat dan tiga lagi termasuk saya ke depan," katanya.
Sementara itu, jersi merah (Raja Bukit) berjaya dirampas Seo Joon Yong dari KSPO selepas Wang Meiyin (Henxiang Cycling Team) mengunggulinya kelmarin namun dia berjaya mengekalkan jersi putih selaku pelumba terbaik Asia.
Perlumbaan peringkat ketiga hari ini dijangka dikuasai oleh pelumba pendaki apabila bermula dari Sungai Siput ke Cameron Highlands dengan jarak perlumbaan sejauh 140.7 kilometer.
Tiga zon pecutan menanti pelumba, iaitu di Ipoh, Kampar dan Tapah, manakala zon pendakian pula di Ringlet (kategori 1) dan Brinchang (kategori Hors).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment