Monday, 4 February 2013

IM4U Tanam Semangat Jati Diri


Program My Beautiful Malaysia yang dilancarkan serentak di seluruh negara semalam, menyerlahkan ketinggian semangat rakyat majmuk di negara ini bekerjasama menjayakan program sukarelawan.

Menepati sasaran, lebih sejuta sukarelawan di 390 lokasi menjayakan program itu, yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Taman Medan, Petaling Jaya, dimeriahkan kira-kira 100,000 sukarelawan dan orang ramai.

Malah, My Beautiful Malaysia turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records berikutan mencatat rekod kebangsaan sebagai program kesukarelawanan terbesar diadakan secara serentak.



Di Kuala Lumpur, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata kira-kira 70,000 sukarelawan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menjayakan Program My Beautiful Malaysia.

“Sukarelawan terdiri daripada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), belia, masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kakitangan beberapa kementerian dan agensi kerajaan,” katanya.

Di Kuantan, kira-kira 10,000 sukarelawan menyertai Program My Beautiful Malaysia peringkat negeri di tiga lokasi berbeza dengan pelancarannya disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, di Pantai Teluk Cempedak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat, bersama 1,000 sukarelawan membersihkan kawasan pesisir pantai Tanjung Lumpur, manakala Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail menyertai 3,000 sukarelawan membersihkan kawasan pantai Batu Hitam, Balok.

Di Kota Kinabalu, lebih 10,000 sukarelawan bergotong-royong membersihkan Taman Prince Philip, Tanjung Aru. Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyertai masyarakat setempat mengecat pondok serta menanam pokok.

Di Kuala Terengganu, Program My Beautiful Malaysia dijayakan kira-kira 80,000 orang membabitkan beberapa lokasi seluruh negeri, termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, di Dataran Batu Burok.

Di Ipoh, kira-kira 120,000 penduduk negeri ini menyertai program sama, manakala perasmian disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, di Padang Ipoh yang dihadiri 6,000 belia.

Di Kuching, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, merasmikan program itu di Pusat Rekreasi Bersepadu Kuching, dan hampir 5,000 belia dari 20 pertubuhan melakukan kerja pembersihan sekitar bandar raya ini, termasuk Muzium Kuching serta persekitaran Dewan Suarah.

Di Bukit Kayu Hitam, Kedah seramai 2,500 sukarelawan dari 50 agensi termasuk 22 jabatan kerajaan di daerah Kubang Pasu, bergotong-royong mengindahkan kawasan pintu sempadan Malaysia-Thailand dalam program yang dirasmikan ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar.

Di Port Dickson, 5,000 orang membanjiri Pantai Cahaya Negeri di mana Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut serta membersihkan pantai dan menanam pokok di pantai itu.

Di Bukit Beruntung, lebih 5,000 penduduk menjayakan program peringkat Parlimen Hulu Selangor yang dirasmikan oleh Ahli Parlimennya, P Kamalanathan, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sentosa.

Di Putrajaya, seramai 10,000 belia bergotong-royong dan mengadakan kempen kebersihan dan kesihatan dari rumah ke rumah di 40 lokasi sekitar pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan ini.

No comments: