Wednesday, 18 February 2015

RAKAN MUDA DIBERI "ROH" BARU


Program Rakan Muda yang dilancarkan pada 1994 telah diberikan ‘roh’ baharu hari ini apabila program tersebut dilancarkan semula dengan memberikan fokus kepada perkemba­ngan dan penyerlahan bakat golongan muda.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, program tersebut selepas ini akan mengetengahkan aktiviti berorientasikan bakat golongan muda terutama melibatkan bakat yang membawa kesan positif dalam usaha pembinaan negara.

Kata beliau, di bawah program tersebut, kementerian memperuntukkan sebanyak RM10 juta sebagai dana kepada mana-mana belia berumur dari 15 hingga 30 tahun untuk menonjolkan bakat mereka dalam sebarang bidang seperti muzik, seni dan perlindungan alam sekitar.

“Berbeza dengan Rakan Muda sebelum ini yang mengamalkan pendekatan dari atas ke bawah iaitu kerajaan terlalu terlibat dalam pe­nganjuran program belia, sekarang i­ni sudah berubah, kita lebih kepada (program dianjurkan) belia untuk belia. Kita kena menyediakan ruang kepada orang muda untuk buat program.

“Zaman kerajaan menjana idea, merangka dan melaksana juga telah berakhir yang mana Rakan Muda baharu ini akan menjadi pemudah cara atau fasilitator dan generasi muda adalah sebagai mereka yang menggerakkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan semula Rakan Muda di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Jamil Salleh.

Dalam pada itu. Khairy menambah, daripada peruntukan RM10 juta itu, sekitar RM3,000 akan diagihkan kepada belia yang layak tetapi bergantung juga kepada kualiti idea dan bakat mereka.

Kata beliau, sekiranya idea serta bakat mereka amat berpotensi tinggi untuk diketengahkan, kementerian akan memberi peruntukan dana yang lebih dan begitu juga sebaliknya.

“Pemilihan dilakukan oleh jawatankuasa pemilihan di kementerian yang dipengerusikan oleh Jamil. Mereka akan beri syor dan saya akan luluskan dana tersebut. Tahun ini kita beri peruntukan RM10 juta, kalau dilihat berjaya, kita akan minta penambahan pada tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy memberitahu, Festival Belia Putrajaya yang diadakan setiap tahun selepas ini akan diterajui oleh Rakan Muda sepenuhnya.

Jelasnya, Rakan Muda akan mengadakan siri jelajah di setiap negeri bermula Mac ini bagi memberi peluang kepada anak-anak muda daripada pelbagai latar belakang untuk memperoleh pendedahan secara langsung tentang bakat-bakat yang boleh diketengahkan dalam program tersebut.

“Road show atau bengkel Rakan Muda akan diterajui oleh anak-anak muda yang telah dikenal pasti kementerian sebagai mereka yang berbakat serta mampu menjadi pembimbing dan juga mentor kepada jutaan mereka yang lain.

“Hasil daripada road show ini, pembimbing-pembimbing dan bakat-bakat baharu yang ditemui pada siri jelajah itu akan dipamerkan pada Festival Belia Putrajaya, Mei ini,” katanya.

No comments: