Wednesday, 25 March 2015

PELANCARAN HARI SUKAN NEGARA 2015


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Se­ri Najib Tun Razak hari ini mengisytiharkan setiap Sabtu minggu kedua pada Oktober setiap tahun sebagai Hari Sukan Negara.

Menurut beliau, ia dalam usaha ke­rajaan mahu menjadikan Malay­sia sebagai sebuah negara yang rak­yatnya mengamalkan budaya bersukan sebagai gaya hidup sihat mereka.

“Pada tahun ini, saya mengisytiharkan Hari Sukan Negara 2015 disambut pada Sabtu, 10 Oktober,” kata beliau semasa melancarkan Hari Sukan Negara 2015 di sini.

Yang turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan timbalannya, Datuk M. Saravanan.

Perdana Menteri berkata, jika pembudayaan sukan dapat dilakukan, Malaysia mampu mengikut jejak langkah Australia yang memiliki pencapaian lebih cemerlang dalam bidang sukan dan juga pembangunan negara bangsa walaupun kadar populasinya adalah seimbang dengan negara ini.

“Tetapi hakikatnya, bakat yang kita ada terhad dan hanya mempunyai kemahiran asas yang terhad sehinggakan apabila tokoh-tokoh sukan tersohor negara bersara, kita tiada pelapis yang boleh mengisi tempat mereka dengan menampilkan prestasi yang serupa.

“Namun ini bukan bererti kita tidak berjaya, kita ada kejayaan yang cemerlang dalam lipatan sejarah dan juga semasa. Kita ada jaguh seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Tan Sri Dr. M. Jegathesan dan skuad bola pada suatu ketika dahulu.

“Untuk masa hadapan, sukan perlu menjadi amalan hidup segenap lapisan masyarakat jika kita ingin menjadi sebuah negara sukan. Manfaatnya bukan sahaja dalam aspek kesihatan tetapi produktiviti,” kata beliau.

Menurut Najib, Malaysia perlu muncul sebagai sebuah negara sukan pada masa hadapan bukan sahaja demi melahirkan atlet-atlet bertaraf antarabangsa tetapi apa yang lebih penting sukan adalah platform terbaik dalam pembinaan negara bangsa.

Kata beliau, sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik, budaya dan agama, pembudayaan sukan secara menyeluruh oleh rakyat akan berupaya menjadi wahana untuk mengukuhkan perpaduan.

Ketika ini kadar bersukan rakyat Malaysia masih rendah iaitu pada kadar 40 peratus berbanding antara 50 hingga 60 peratus bagi negara-negara maju lain.

Dalam pada itu, Najib berkata, tiada alasan untuk rakyat Malaysia tidak mengamalkan gaya hidup sihat apatah lagi ketika ini kadar obesiti, penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi serta serangan jantung merupakan ancaman serius kesihatan penduduk.

“Saya sendiri pengamal dan peminat sukan sehingga menjadikan riadah sebagai sesuatu yang serius, saya mengambil jurulatih khas bagi tujuan itu dan jika saya selaku Perdana Menteri boleh melakukannya, tiada sebab untuk rakyat tidak melakukannya,” katanya.

No comments: