Golongan pendakwah muda perlu digerakkan bagi memberi kefahaman kepada golongan sebaya mereka tentang fahaman kumpulan militan Negara Islam (IS) yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, pendakwah muda lebih memahami perasaan serta keperluan anak-anak muda, sekali gus boleh mengelakkan golongan itu daripada terpengaruh dan menyertai kumpulan militan tersebut.
Menurutnya, pendekatan dakwah yang ada sekarang ini masih belum mencukupi untuk diterapkan kepada golongan muda agar mereka lebih memahami tentang erti ajaran Islam sebenar dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
“Selama ini kita ada fatwa, khutbah Jumaat dan ceramah agama bagi memberi kefahaman menyeluruh tentang Islam bahawa IS itu adalah jihad yang palsu. Tetapi semua itu masih belum memadai untuk golongan muda memahaminya.
“Kita kena luaskan pendekatan dalam menangani golongan muda daripada terpengaruh dengan IS, bukan sahaja suara itu datangnya daripada alim ulama tetapi biarlah terus daripada mereka yang seusia dengan mereka,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Sidang 1 Penggal Ke-30 Tahun 2015-2016 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras di sini yang disertai lebih 50 pemimpin pertubuhan belia seluruh negara.
Khairy berkata, pendekatan itu turut berlaku di luar negara apabila banyak pendakwah muda yang aktif memainkan peranan mereka dalam memberi kefahaman tentang Islam termasuk menyekat pengaruh IS daripada berkembang.
“Baru-baru ini saya berada di Amerika Syarikat dan berjumpa dengan seorang pendakwah muda yang terkenal di sana iaitu Nouman Ali Khan. Kami sependapat mengatakan bahawa pembabitan pendakwah muda penting dalam peranan tersebut.
“Memang sudah banyak usaha dilakukan di sana bagi membabitkan pendakwah dan penceramah muda yang dilihat lebih efektif untuk membawa mesej kesederhanaan dalam Islam bagi diterapkan kepada golongan muda dan belia,” ujarnya.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Belia, Dr. Mohd. Ghani Mohd. Yusof dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaluddin.
No comments:
Post a Comment