Wednesday, 6 February 2013

Harimau Malaya Yakin Baham Qatar


Harimau Malaya akan mendedahkan belang sebenar dengan memanfaatkan kelemahan daripada gandingan baharu pemain Qatar yang mungkin kurang serasi dalam pertemuan bola sepak Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015, hari ini.

Pada kaca mata jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal, kesempatan itu mampu mencari sekurang-kurangnya satu mata dari Stadium Jassim Hamad, Doha.

"Kami tahu tuan rumah tiada masalah kecederaan, ramai tonggak seperti pasukan Malaysia, malah semua bahagian lawan boleh dikatakan lengkap dan tiada masalah selain disokong sehingga tujuh atau lapan pemain naturalisasi.

"Namun, hakikat keserasian pemain mereka yang mungkin baharu, masih boleh diambil kesempatan oleh pasukan kita untuk cuba mendapatkan mata dalam perlawanan ini," katanya menjelang aksi sulung perlawanan sebenar Harimau Malaya itu pada tahun ini.

Di bawah bimbingan jurulatih tempatan, Fahad Abdullah Al Thani Alzraa yang menggantikan warga Brazil, Paulo Autuori, ramai muka baharu Qatar yang dibawa masuk sejak prestasi hambar mereka dalam Piala Negara-negara Teluk di Bahrain, bulan lalu.

Rajagobal dalam pada itu tidak menolak kemungkinan untuk kembali memperjudikan kesebelasan utama seperti ketika mereka dibenam Iraq 0-3 dalam perlawanan persahabatan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jumaat lalu.

Tanpa nama besar seperti Mohd. Safee Mohd. Sali, Norshahrul Idlan Talaha, S. Kunanlan dan Baddrol Bakhtiar, hanya gandingan Mohd. Khyril Muhymeen Zambri-Mohd. Amri Yahyah dapat diturunkannya.

Sementara itu, Fahad Abdullah berkata: "Sungguhpun ada ramai muka baharu dalam pasukan ini, saya lebih kenal kemampuan pemain saya sebab saya penolong jurulatih pasukan kebangsaan Qatar selama dua tahun (sebelumnya dibimbing dua warga Brazil). Jadi tidak timbul masalah.

"Kalau ada antara 11 dalam kesebelasan utama yang tidak menyerlah, ramai yang mampu menggantikannya. Memang ada segelintir yang tercedera tetapi saya yakin, mereka sempat pulih bagi perlawanan ini," katanya.

Antara tonggak Qatar yang wajar diberikan dalam perlawanan yang turut mempengaruhi ranking dunia ini ialah ketua pasukan, Ibrahim Majid dan seorang penyerang kelahiran Uruguay Sebastian Soria Quintana.

No comments: