Saturday, 25 May 2013

Janji Khairy Jamaluddin Pada Belia


Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin melahirkan rasa gembira terhadap sokongan dan penyertaan golongan belia sempena Festival Belia Putrajaya 2013 kali ini.

Beliau meminta golongan belia memanfaatkan pelbagai peluang yang disediakan pada festival itu.

"Sehingga kini, saya melihat sambutannya cukup baik. Belia kita begitu bertenaga. Kita mahu gunakan tenaga belia ini dengan cara yang baik untuk kepentingan dan pembangunan negara," katanya.

Khairy berkata pada tahun depan, festival itu akan diseimbang dengan program ilmu dan kerohanian kerana pengisiannya penting dalam usaha kerajaan membentuk modal insan yang tidak hanya leka dengan aktiviti bersifat duniawi serta kebendaan.



"Saya tidak mahu festival belia ini hanya menjurus ke arah hiburan sahaja. Hiburan itu ada, tapi kita seimbangkan program kita dengan acara yang memberi manfaat ilmu dan kerohanian," katanya.

"Program Forum Perdana dan nasyid yang diadakan semalam serta majlis khatam al-Quran hari ini merupakan suatu permulaan yang baik. Insya-Allah tahun depan kita akan fikirkan banyak lagi acara.

"Walaupun ini permintaan orang ramai, tapi semalam saya nampak Forum Perdana tidak dapat sambutan besar , jadi kita kena kaji semula apakah pendekatan terbaik aspek keagamaan dalam festival belia ini dapat sambutan tahun depan," kata Khairy.

Sementara itu, timbalannya, Datuk M.Saravanan yakin ramai belia dan orang ramai akan membanjiri festival berkenaan esok dan lusa, yang menjanjikan pelbagai program menarik untuk semua lapisan umur. - MPP

No comments: