Wednesday, 22 May 2013

Shahidan Perlu Buat Keputusan - KJ


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim wajar menimbang semula kedudukan jawatan Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) yang masih dipegangnya sekarang.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, biasanya apabila seseorang itu menjadi menteri beliau perlu melepaskan jawatan yang dipegangnya dan sekarang ini terpulang kepada Shahidan untuk membuat keputusan mengenainya.

"Saya serahkan kepadanya untuk membuat keputusan walaupun beliau bukan Menteri Belia dan Sukan tetapi kalau boleh kita tidak mahu politik bercampur dalam pentadbiran badan persatuan sukan," katanya ketika ditemui media selepas majlis serah tugas di Kementerian Belia dan Sukan di sini, semalam.



Ditanya mengenai jawatannya dalam badan sukan peringkat negeri, Khairy berkata, beliau tidak pasti mengenai perkara tersebut di mana ia perlu disemak dan melihat dari segi teknikal serta peraturan badan sukan tersebut.

Sementara itu, Khairy meminta diberi sedikit masa dan ruang untuk melihat segala permasalahan dalam badan sukan di negara ini termasuk dari segi prestasi atlet.

"Banyak permintaan daripada rakan laman sosial, Facebook dan Twitter meminta saya mengambil perhatian dalam sukan seperti bola sepak (popular) dan rugbi serta tenis (kurang popular),

"Bagaimanapun bagi saya masa untuk berbincang dengan persatuan sukan ini kerana hari ini (semalam) adalah hari ketiga saya menjadi Menteri Belia dan Sukan. Pendekatan pertama saya adalah merujuk kepada persatuan sukan berkenaan," katanya.

No comments: