KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digesa bertindak lebih pantas dan mengenakan hukuman tegas ke atas kelab atau persatuan bola sepak negeri berkenaan sebagai pengajaran kepada penyokong yang cenderung mencetuskan pergaduhan di dalam stadium sewaktu perlawanan sedang berlangsung.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, terdapat dua perkara yang perlu dilakukan oleh badan induk bola sepak tersebut iaitu yang pertama mesti memastikan hukuman dipercepatkan dan kedua, bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan tahap keselamatan di stadium.
"Buat masa ini, FAM mengambil masa terlalu lama untuk menyiasat kes-kes tertentu. Saya rasa jika FAM mampu menjatuhkan hukuman ke atas kelab (terbabit) lebih cepat dengan hukuman yang berat maka kelab juga akan berasa bertanggungjawab.
"Mereka akan memaklumkan kepada kumpulan penyokong supaya jangan bertindak ganas dan jaga tingkah laku. Jika kita mula menghukum dan memaksa mereka bermain di stadium kosong, secara tak langsung ia turut memberi peringatan kepada penyokong bahawa hukuman yang dikenakan mampu menjejaskan pasukan mereka," katanya.
Tindakan pantas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan anggota keselamatan lain berjaya menghalang insiden tersebut menjadi lebih buruk. Kira-kira 250 penyokong JDT lari ke tengah padang untuk menyelamatkan diri dan terpaksa menunggu sehingga keadaan reda sebelum beredar.
Menurut Khairy, kawalan keselamatan stadium juga harus diperketatkan dan anggota keselamatan yang bertugas perlulah mencukupi bagi memantau perlakuan penyokong sewaktu perlawanan sedang berlangsung.
Tegasnya, pasukan yang menjadi tuan rumah perlu bertanggungjawab sekiranya insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang perlawanan berlangsung dan pasukan berkenaan harus dipersalahkan.
Ketika ditanya mengenai kegagalan pihak berkuasa menyekat penyokong menyeludup masuk suar dan mercun ke dalam stadium beliau memberitahu, memang sukar untuk menghalang penyokong daripada bertindak sedemikian dan apa yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa ialah meningkatkan tahap keselamatan di stadium.
"Ini fenomena global, cuba lihat insiden yang berlaku di San Siro (Itali), lihat stadium di Eropah, penyokong tetap dapat bawa masuk suar dan mercun ke dalam stadium, tetapi ini bukan alasan, kita perlu meningkatkan keselamatan bagi menyekat tindakan penyokong," tegasnya. - Sumber
No comments:
Post a Comment