Tuesday, 15 April 2014

BELIA MUFLIS AKIBAT BELANJA LUAR KEMAMPUAN


MUFLIS atau bangkrap adalah perkataan yang paling digeruni kerana sekiranya ia berlaku banyak kesan buruknya.

Setiap orang apabila ditanyakan soalan berkaitan kepentingan wang dalam kehidupan biasanya, ada yang menjawab wang bukan segala-galanya dan ada juga yang menjawab tanpa wang kita tidak boleh mengecapi kebahagiaan hidup.

Kos hidup yang semakin tinggi menyebabkan kebanyakan daripada kita menjadi tertekan dan kerana tidak dapat mengurus kewangan dengan baik akhirnya hutang piutang tidak dapat dibayar dan menyebabkan seseorang menjadi muflis.

Justeru, perlu diingatkan dari peringkat remaja lagi agar mengawal perbelanjaan dengan bijak dan jangan ikut nafsu semasa berbelanja.

Secara purata, setiap hari dianggarkan terdapat 14 orang diisytiharkan muflis atau bangkrap di negara ini. Ini berlaku kerana sikap suka berbelanja lebih daripada pendapatan.

Sejumlah 122,169 rakyat Malaysia diisytihar muflis bagi tempoh 2007 hingga tahun lepas berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).

Hari ini, semakin ramai belia yang muflis, gara-gara menanggung beban hutang yang serius seperti kad kredit, pinjaman membeli kereta dan pinjaman peribadi.

Perangkaan Jabatan Insolvensi Malaysia dari tahun 2005 hingga 2012 menunjukkan seramai 243,823 orang diisytiharkan muflis. Sebanyak 57 peratus daripadanya berusia di bawah 45 tahun.

Sebanyak 50 peratus daripada mereka ialah pemegang kad kredit yang berusia di bawah 30 tahun. Lebih menyedihkan 15 peratus daripada mereka tiada tabungan dan 37 peratus lagi tidak pernah memikirkan persediaan untuk persaraan.

Perancangan kewangan yang lemah dan kurangnya pengetahuan mengenai pengurusan wang menjadi faktor utama masalah hutang. Hal ini membawa kepada bebanan hutang pada usia muda akibat berbelanja secara berlebihan.

Gaya hidup di luar kemampuan sering menjadi punca utama masalah kewangan yang semakin meruncing dalam kalangan remaja.

Mereka merasakan status orang muda bagaikan tercabar sekiranya tidak mengikut trend masa kini dari segi penampilan dan gajet. Hal ini membawa kepada bebanan hutang pada usia muda akibat berbelanja secara berlebihan. Maklumlah hendak membayar bil Internet, telefon, kelab gimnasium dan perbelanjaan makan minum.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) mengenai perilaku dan tabiat kewangan golongan pekerja muda, 37 peratus daripada kelompok itu mengakui berbelanja melebihi gaji bulanan. Kurangnya pengetahuan mengenai pengurusan kewangan menjadi punca kepada kemelut bebanan hutang golongan tersebut.

Jika dilihat dari segi peratusan kes kebangkrapan yang paling tinggi kepada golongan ini adalah membabitkan pinjaman kenderaan iaitu 25.21 peratus, diikuti pinjaman persendirian 13.15 peratus, pinjaman perumahan 12.31 peratus, pinjaman perniagaan 11.26 peratus dan kad kredit, 4.9 peratus.

Implikasi muflis ada macam-macam. Antaranya, menyebabkan seseorang itu tidak boleh memegang jawatan tertentu dalam perkhidmatan awam.

Seorang pegawai pemegang harta akan ditugaskan untuk mengawasi harta benda dan memantau tindakan anda dalam menyelenggarakan harta untuk melangsaikan hutang. Anda juga tidak boleh ke luar negara.

Antara langkah bijak untuk mengelakkan berlakunya perkara ini adalah ibu bapa jangan terlalu akur dengan kehendak anak-anak yang meminta barangan berjenama atau sentiasa mahu menukar gajet. Anak-anak perlu dididik dari kecil lagi tentang perancangan kewangan yang betul.

Terangkan kepada mereka yang mana menjadi keperluan dan prioriti perlu diutamakan daripada mengikut kehendak arus semasa.

Dalam pada itu, Sekretariat Bebas Muflis perlu berperanan agar penggunaan khidmat CTOS yang banyak menyusahkan orang ramai dari segi maklumat yang tidak dikemaskini dan menimbulkan ketidakadilan dan penganiayaan ini, dikaji semula atau dihentikan terus dan digantikan serta diuruskan oleh pihak kerajaan sendiri dalam menentukan status kredit seseorang untuk dinilai oleh institusi kewangan dan sebagainya.

Proses pinjaman dan lain-lainnya seharusnya juga dinilai semula agar tidak timbul masalah dari segi penjamin, teraniaya dan tertipu dengan sistem yang ada sekarang ini.

Selain itu, program-program motivasi dan kewangan seperti yang diadakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui Program Pengurusan Kredit harus diperhebatkan.

Program yang dijalankan ini bertujuan memupuk tabiat meminjam secara bijak sekali gus menggalakkanbudaya pembayaran semula pinjaman secara konsisten.

Jika berlaku muflis, dunia belum kiamat lagi kerana masih ada cahaya di hujung terowong. Tetapi sebelum itu, ukurlah baju di badan sendiri. Ukurlah ketebalan dompet dan jumlah wang dalam akaun bank. Ukurlah gaji bulanan dan hutang yang perlu dilunaskan. Sama-samalah kita saling mengingati. Salam 1Hati.

DR. JESSICA ONG HAI LIAW

Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

No comments: