KEMPEN Piala Malaysia 2014 bakal membuka tirainya, Rabu ini.
Sebanyak 16 pasukan akan berentap untuk merebut piala keagungan bola sepak negara yang berakar-umbi sejak 1921 itu.
Mengetuai saingan adalah 10 pasukan Liga Super, empat pasukan teratas Liga Perdana, selain JDT II dan T-Team yang memenangi saingan playoff.
Pasukan pilihan kali ini pastinya juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT); juara Piala FA yang juga penyandang Piala Malaysia, Pahang serta naib juara Liga Super, Selangor.
Sejak dibimbing oleh Bojan Hodak, yang mengambil alih pasukan daripada Cesar Ferrando Jimenez, JDT telah mencipta 10 kemenangan, satu seri dan kalah 1-2 kepada ATM sebelum menjulang gelaran Liga Super dengan meraih kemenangan 1-0 di Kuching.
Ternyata sentuhan magis Hodak yang membawa Kelantan menjulang tiga piala pada 2012 kini dirasai Harimau Selatan. Gandingan import, Luciano Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz yang menghasilkan 19 daripada 39 gol JDT membuktikan bisa mereka. Ditambah pula dengan perisa yang dibawa pemain-pemain terbaik tempatan.
JDT menjadi pilihan untuk merangkul piala keduanya musim ini bagi menambah koleksi Piala Malaysia 1985 dan 1991.
Jangan dilupakan, juara bertahan Pahang yang telah meraih Piala FA, termasuk menyingkirkan JDT pada separuh akhir sebelum menewaskan Felda United.
Meskipun tewas mengejut 0-3 kepada Perak pada aksi terakhir liga, semangat mereka membara untuk mempertahankan Piala Malaysia. Kombinasi pemain yang telah dibentuk sejak tiga tahun lalu memudahkan Zainal Abidin Hassan mencari keserasian.
Sebelum muncul juara 2013, Pahang menjulang Piala Malaysia 1983 (kalahkan Selangor 3-2) dan 1992 (menang 1-0 ke atas Kedah). Mereka juga mempunyai pengalaman beraksi di tujuh pentas akhir.
Selangor pula mengharapkan misi 33 dapat dicapai. Red Giants telah mengungguli piala berprestij itu 32 kali iaitu 18 Piala Malaysia dan 14 ketika ia dikenali sebagai Piala HMS Malaya.
Kali terakhir Selangor muncul juara adalah pada 2005 di bawah kendalian Dollah Salleh dengan hatrik Bambang Pamungkas menewaskan Perlis 3-0.
Meskipun tidak membariskan ramai bintang, tetapi sebutir bintangnya begitu menyerlah. Siapa lagi kalau bukan Paulo Rangel yang dinobat sbagai penjaring terbanyak Liga Super dengan 16 gol.
Jangan pula dipandang enteng pasukan Liga Perdana. Juara dan naib juara musim ini membariskan ramai pemain hebat dan berkebolehan setaraf Liga Super.
Juara Liga Perdana, PDRM akan beraksi tanpa Dollah Salleh, namun Azman Adnan dijangka mampu meniup semangat The Cops untuk memberi cabaran.
Rangkaian serangan Ali Ashfaq, Chad Charles Sauza dan Bobby Gonzales telah meledak 42 gol. Benteng pertahanan, Muslim Ahmad, Mohd. Afif Amiruddin dan Rafael Souza Silva Novais pula mampu melindungi bekas penjaga gol kebangsaan, Azizon Abdul Kadir.
Naib juara Liga Perdana, Felda juga mempunyai barisan pemain yang mampu mengugat pasukan Liga Super. Jurulatih, Irfan Bakti boleh menggabungkan pemain import berbisa dan tempatan berpengalaman.
Dua pasukan yang pernah menjuarai Piala Malaysia empat kali, Pulau Pinang dan Kedah juga mampu memberi tentangan meskipun datang dari Liga Perdana.
Mungkin juga ada kejutan daripada pasukan tangga keempat Liga Super dan juara 2001, Terengganu, selain juara 2010 dan 2012, Kelantan serta Sarawak, LionsXII dan Sime Darby, naib juara Piala FA 2012.
Piala Malaysia 2014 bermula dengan perlawanan kumpulan pada 19 Ogos hingga 6 September. Suku akhir pertama bakal diadakan pada 3/4 Oktober, diikuti 17/18 Oktober. Separuh akhir berlangsung pada 24 dan 25 Oktober serta 31 Oktober dan November.
Juara Piala Malaysia edisi ke-48 akan dinobatkan pada 8 November, 2014. Semoga ghairah Piala Dunia Brazil 2014 diteruskan dengan Piala Malaysia 2014.
No comments:
Post a Comment