MEMASUKI Ogos yang sekali lagi jatuh pada bulan Syawal sewajarnya menerbitkan rasa kesyukuran yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia kerana Ogos bulan kemerdekaan negara kita manakala Syawal pula bulan kemenangan kepada umat Islam yang berjaya melalui pelbagai ujian dan cabaran sepanjang Ramadan yang lalu.
Walaupun kita masih diselubungi kesedihan dengan tragedi pesawat MH17 dan juga MH370 sehingga pihak kerajaan membatalkan majlis rumah terbuka hari raya Perdana Menteri dan jemaah menteri di peringkat nasional bagi menghormati mangsa serta ahli keluarga mereka, hakikatnya kita masih berada dalam sebuah negara yang aman dan selamat.
Budaya kunjung-mengunjung serta rumah terbuka terus segar dalam masyarakat kita yang menyambut lebaran tahun ini secara sederhana tetapi dengan penuh ceria dan keinsafan.
Rakyat kita perlu mengambil iktibar dan menginsafi pergolakan yang terus berlaku di pelosok dunia merangkumi konflik etnik, agama dan bangsa seperti di Palestin, Syria, Iraq dan juga Myanmar di samping letusan bom di negara jiran kita Thailand.
Kita juga perlu ambil iktibar atas beberapa tragedi yang melanda negara dan masyarakat kita sendiri seperti misteri kehilangan pesawat MH370 yang sehingga kini belum terungkai dan tragedi pesawat MH17 yang terhempas ditembak jatuh pengganas.
Di samping itu, beberapa siri pencerobohan dan penculikan di Sabah sehingga mengorbankan beberapa anggota keselamatan kita patut juga diberi perhatian.
Apakah kita sedar bahawa kesemua kejadian dan tragedi ini seolah-olah memberi petanda dan amaran awal kepada kita bahawa andai kita tidak berhati-hati dan sentiasa memelihara keamanan dan keselamatan yang kita nikmati selama ini, kita mungkin sahaja berhadapan dengan pelbagai lagi tragedi lebih buruk pada masa hadapan.
Perkara ini tidak mustahil untuk berlaku jika kita mengambil kira senario politik, ekonomi dan sosial dunia yang sangat tidak menentu mutakhir ini. Justeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan ideologi politik perlu bersama-sama berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam memelihara dan mempertahankan keamanan dan keselamatan sedia ada supaya kita tidak menyesal kemudian hari.
Formula utama yang menyumbang kepada kesepaduan sosial dan kesatuan dalam kalangan masyarakat kita selama ini ialah elemen perpaduan kaum yang telah sebati sejak zaman kemerdekaan lagi. Maka formula dan ramuan mujarab ini bukan saja perlu dipelihara dan dipertahankan malah perlu diperturunkan kepada generasi muda yang bakal meneruskan legasi kepimpinan dan kecemerlangan negara kelak.
Anak-anak muda hari ini di samping diajar ilmu agama mengikut kepercayaan masing-masing, ilmu dan kemahiran untuk memahami, menghayati serta menjiwai formula perpaduan kaum negara ini yang begitu unik yang dicipta dan diilhamkan bersandarkan kontrak sosial oleh generasi terdahulu juga perlu dititikberatkan.
Ringkasnya intipati penting naskah kontrak sosial perlu diamanahkan kepada generasi akan datang. Ini adalah tanggungjawab utama ibu bapa pada hari ini demi memastikan anak-anak generasi Y tidak hanyut dengan pelbagai sogokan gajet sehingga leka tentang peranan dan tanggungjawab mereka untuk menjadi nadi dan tulang belakang negara ini kelak.
Ibu bapa juga perlu sentiasa mengingatkan anak-anak muda bahawa kemerdekaan dan keamanan yang kita nikmati selama ini tidak akan kekal selamanya. Ingatlah bahawa sekali merdeka tidak bererti akan kekal merdeka selama-lamanya andai kita tidak bersedia untuk menjaga dan memeliharanya dengan baik.
Realitinya kita boleh berbeza pandangan, pemahaman mahupun anutan ideologi politik yang sebenarnya menjunjung budaya dan amalan demokrasi yang subur namun dalam konteks kepentingan negara dan masyarakat berbilang bangsa segala perbezaan dan perselisihan yang wujud perlu diketepikan.
Ringkasnya carilah titik persamaan dalam perbezaan yang wujud. Dalam konteks ini semua pihak perlu sedar bahawa kepentingan negara perlu mengatasi segala kepentingan parti mahupun individu. Apa guna kita menjadi jaguh mahupun hero di mata segelintir rakyat tetapi pada masa sama kepentingan dan keselamatan negara tergadai mahupun terancam.
Usul mengenai tragedi MH17 yang diluluskan sebulat suara oleh semua wakil rakyat dari pelbagai parti dan ideologi politik di Dewan Rakyat baru-baru ini wajar dipuji dan dijadikan teladan serta asas yang kukuh untuk membina sebuah negara yang bersatu padu, maju, progresif, cemerlang dan sejahtera.
Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, keputusan sebulat suara ini adalah satu permulaan yang baik untuk kita sebagai rakyat Malaysia bertaut hati, dengan mengukuhkan solidariti sebagai satu negara, 1Malaysia.
Hakikatnya keamanan, keselamatan dan kemerdekaan serta perpaduan kaum yang ada adalah satu nikmat dan khazanah warisan yang cukup bernilai. Ia tidak boleh ditukar ganti mahupun dijual beli dalam apa jua keadaan sekalipun.
Untuk itu tidak salah untuk kita sekali sekala menoleh ke belakang menyelak catatan sejarah kewujudan, kemerdekaan dan kemajuan negara kita. Walau setinggi mana kedudukan kita sekalipun, walau sehebat mana rakyat kita sekalipun, walau semaju mana negara kita sekalipun jangan sesekali lupa asal usul kita, masyarakat dan negara. Hanya kesedaran dan keinsafan tersebut mampu untuk terus membantu membakar semangat cintakan negara dan masyarakat kita.
Kita juga perlu sedar bahawa hanya berbaki sekitar enam tahun saja lagi bagi menggapai impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi justeru semua pihak perlu bersatu menjadi benteng untuk mempertahankan negara kita dari sebarang bentuk ancaman luar di samping memperkukuhkan tali persahabatan dan persaudaraan sesama kita yang berbagai agama dan bangsa.
Kita tidak mempunyai banyak masa untuk terus berselisih faham dan bercakaran sesama kita mahupun terus kecewa, patah hati dan meratapi segala tragedi yang telah berlaku sebaliknya jadikan kesemua itu sebagai iktibar dan pengajaran yang sangat berguna seterusnya lekas bangkit menuju impian yang disasarkan.
Semoga segala insiden dan tragedi yang menimpa negara dan masyarakat mutakhir ini menjadi pedoman dan panduan yang mujarab untuk kita terus bersatu membina bangsa Malaysia yang maju dan cemerlang. Peganglah kepada kata-kata keramat 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'. - SUMBER
No comments:
Post a Comment