Friday, 12 September 2014

BAHASA KEBANGSAAN TERUS TERPINGGIR


KISAH seorang peserta pidato dari Korea Selatan yang mahu belajar bahasa Melayu daripada seorang pelajar Malaysia kemudian diperlekehkan niatnya oleh pelajar Malaysia tersebut, menarik perhatian saya.

Memetik kata kolumnis Pedas-pedas Kari pada 7 September lepas; "Kita tak peduli lagi bahasa kebangsaan!"

Jadi sejauhmanakah komitmen kita dalam menjayakan Bulan Bahasa Kebangsaan yang menjadi acara tahunan negara demi memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat?

Sejauh mana bahasa kebangsaan mampu mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita? Malah, adakah bahasa kebangsaan sudah mampu diguna pakai dalam pelbagai urusan harian sama ada dalam surat menyurat rasmi kerajaan dan komunikasi masyarakat berbilang kaum? Bagaimana pula dengan pelbagai papan tanda perniagaan, iklan di tepi-tepi jalan malah di pelbagai media massa?

Ramai berpendapat bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan bukannya mudah. Walaupun perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan sudah berlangsung hampir enam dekad, tetapi berapa ramai sangat yang menjadikannya sebagai satu perjuangan untuk menegakkan bahasa kebangsaan.

Kita sebenarnya seolah-olah hilang jati diri dalam berbahasa. Senario ini seolah-olah menjadi biasa dalam kalangan masyarakat sekarang apatah lagi golongan terpelajar.

Kalau tidak boleh bercakap Inggeris sepenuhnya pun, sekurang-kurangnya lima enam patah akan diselit perkataan Inggeris dalam satu ayat yang mengandungi hampir dua puluh patah perkataan sahaja.

Di stesen-stesen televisyen tempatan, sama ada penceramah, individu yang diwawancara tidak kira golongan, tidak sah kalau tidak memasukkan perkataan Inggeris apabila bercakap. Maka tidak hairanlah jika kita dicap sebagai sekerat belut sekerat ular dalam berbahasa.

Bahasa caca-marba ini menjadi barah dalam bahasa Melayu dan lebih malangnya kerana ia turut diseret ke dalam kertas jawapan pelajar sama ada di peringkat Tingkatan Tiga mahupun Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sikap ini juga menunjukkan kita memperlekeh bahasa sendiri dan soalnya, bagaimana kita mampu mengetengahkan bahasa kita ke peringkat antarabangsa kalau kita sendiri malas atau memandang rendah kepada bahasa sendiri?

Sedangkan bahasa Melayu sudah mempunyai pengaruh dan khalayak yang besar sejak zaman-berzaman. Suatu masa dahulu, bahasa ini menjadi perantara dalam urusan-urusan penting sehingga menjangkau kepada perdagangan dan jual beli.

Pelbagai usaha kita lakukan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu. Pelbagai kempen telah diadakan oleh kerajaan menerusi media massa dan slogan-slogan yang dapat ditemukan di merata tempat seperti ‘Cintailah Bahasa Kita’, ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dan sebagainya.

Kita berharap slogan-slogan ini tidak tinggal sebagai slogan sahaja tetapi usaha-usaha untuk memperkemas serta merealisasikan slogan itu patut disertakan dengan tindakan bersepadu.

Di sekolah, kita mempunyai minggu atau bulan bahasa tetapi di manakah silapnya sehingga kita tidak dapat melahirkan generasi yang benar-benar sayang akan bahasa sendiri, menggunakan bahasa sendiri tanpa segan silu.

Guru-guru tidak semestinya hanya mendidik pelajar agar ‘takut’ gagal bahasa Melayu atas alasan tidak akan memperoleh sijil, tetapi didiklah mereka supaya memartabat, menggunakan dan memelihara bahasa itu.

Pengisian sebenar minggu atau bulan bahasa di sekolah perlu difikirkan kesesuaiannya memandangkan pelbagai gaya bahasa diguna pakai oleh pelajar sehingga menjejaskan imej bahasa kebangsaan.

Mereka inilah nanti yang bakal bertebaran di segenap pelosok negara sehingga ke luar negara dan bakal mewarnai landskap bahasa kebangsaan. Jika di sekolah lagi mereka sudah keliru dengan jati diri mereka dalam bahasa, tidak hairanlah di luar nanti mereka akan memburukkan lagi keadaan.

Untuk mengembalikan kegemilangan dan martabat bahasa Melayu, satu kesedaran tinggi amat penting bagi setiap warganegara terutamanya orang Melayu pelbagai peringkat bagi memastikan bahasa kita berada di tahap yang sewajarnya.- SUMBER

No comments: