Monday, 15 September 2014

KEMPEN #FITMALAYSIA DAPAT SAMBUTAN


Kementerian Belia dan Sukan yakin kempen FitMalaysia mampu menarik lebih banyak penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur sejak dilancarkan di peringkat kebangsaan minggu lalu.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, penyertaan kira-kira 20,000 orang daripada semua lapisan masyarakat di Dataran Pahlawan hari ini menunjukkan kempen tersebut yang bertujuan membudayakan aktiviti sukan mendapat sambutan mengalakkan.

Katanya, kementerian juga tidak berbelanja besar untuk mempromosikan FitMalaysia kerana lebih banyak menggunakan platform media sosial.

"Bayangkan, kira-kira 20,000 orang hadir iaitu 10,000 yang mendaftar untuk acara larian dan berbasikal namun begitu apabila hujan, ada yang tidak turut serta.

"Namun selepas hujan berhenti, mereka semua mula berhimpun dan menyertai pelbagai aktiviti bersukan yang diatur sepanjang program ini dijalankan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen FitMalaysia peringkat ne-geri di Dataran Pahlawan, Banda Hilir di sini.

Kempen seawal pukul 7.20 pagi itu bermula dengan acara larian sebelum disusuli kayuhan basikal. Pelbagai aktiviti riadah lain turut diadakan seperti senamrobik, papan selaju, seni mempertahankan diri dan berkasut roda yang turut disertai oleh orang kurang upaya (OKU).

Mengulas lanjut, Khairy berkata, selepas penganjuran itu, kempen tersebut akan menjelajah ke seluruh negara dan Sabah menjadi lokasi ketiga pada Ahad ini.

Menurutnya, kempen FitMalaysia juga diyakini menepati ramalan mampu menarik lebih ramai rakyat daripada lapisan masyarakat apabila berkunjung ke setiap negeri selepas ini.

Beliau berkata, kejayaan cemerlang di negeri ini membuktikan rakyat bersedia untuk menjadikan budaya bersukan sebagai aktiviti utama kehidupan harian mereka.

"Kempen ini akan berterusan dan berulang selepas menjelajah ke setiap negeri kerana kita mahu rakyat mengamalkan budaya bersukan," ujarnya.

Sehubungan itu, Khairy mengharapkan kempen yang dilancarkan itu turut membendung masalah obesiti selain terus menarik minat seluruh peringkat umur untuk bersukan. - SUMBER

No comments: